PUTRAJAYA, Khamis – Pengarah Ukur Bahagian Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Dr. Azhari Mohamed berkata, Malaysia dijangka mengalami fenomena gerhana bulan dalam tempoh dua minggu lagi.
“Berdasarkan perkiraan pihak kami, pada 23 Mac ini atau bersamaan 14 Jamadilakhir dijangka berlaku fenomena gerhana bulan manakala gerhana matahari separa pula akan berlaku sebanyak dua kali iaitu masing-masing pada 26 September 2019 dan 21 Jun 2020 di seluruh negara.
“Jangkaan ini dibuat berdasarkan perkiraan yang dibuat hasil cerapan lama berpandukan kepada perjalanan bulan dan bumi,” katanya, selepas menunaikan solat sunat gerhana matahari berjemaah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Putra, di sini, semalam.
Katanya, fenomena gerhana matahari yang berlaku seperti semalam dapat disaksikan lagi dalam tempoh tiga tahun selepas bumi, bulan dan matahari berada dalam kedudukan selari.
“Fenomena tersebut yang kali terakhir berlaku kira-kira enam tahun lalu dijangka menyebabkan gerhana matahari separa berlaku di seluruh negara.
“Gerhana matahari separa itu berlaku bermula pada pukul 7.24 pagi dan mencapai tahap kemuncaknya pada pukul 8.23 pagi sebelum berakhir pada pukul 9.30 pagi,” katanya.
Ditanya mengenai kesan fenomena tersebut terhadap perubahan cuaca, katanya, kejadian gerhana matahari menyebabkan penurunan suhu dan pertambahan graviti disebabkan matahari dan bulan berada dalam kedudukan selari.
“Keadaan ini menyebabkan bulan dan matahari saling berlawanan, disebabkan itu kita dapat melihat fenomena air pasang besar berlaku di luar kebiasaannya hari ini kerana matahari dan bulan saling menarik air laut dari bumi,” katanya.
sumber:ismaweb
No comments:
Post a Comment